BANGI – Sokongan mentor memudahkan Umar Md. Pishal berdepan dengan pihak pengurusan lebih senior apabila melangkah masuk ke syarikat bapanya.
Jelas Pengurus Besar Meranti Furniture Sdn. Bhd. itu, mentor dapat memberikan bimbingan, solusi dan tunjuk ajar untuk berdepan situasi sedemikian.
“Sebagai pelapis syarikat kadang-kadang kita ada kekurangan, jadi bila belajar dapat tambah ilmu dan kekuatan diri.
“Bila masuk mesyuarat kita tenang, meskipun ada yang melakukan provokasi pun boleh diuruskan dengan baik,” jelasnya.
Umar memulakan kerjaya di syarikat perabot milik keluarganya sebagai akauntan dengan gaji permulaan RM1,500.
Bertekad mahu memajukan perniagaan dan meningkat ilmu kepimpinan, beliau mengambil keputusan menyertai program permentoran Titanium di bawah bimbingan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan RichWorks.
“Sebelum itu, saya pernah menyertai program percuma oleh RichWorks selama setengah jam di Johor dan walaupun singkat, banyak input saya perolehi.
“Kemudian saya sekali lagi sertai program percuma, iaitu Bina Bisnes Berjaya sebelum mengambil keputusan menyertai Titanium,” ujarnya.
Umar menyifatkan program permentoran itu sebagai one stop solution apabila turut merangkumi pelbagai aspek penting dalam keusahawanan, termasuk agama dan kerohanian.
“Saya suka sesi pagi bersama Ustaz Umar Abdul Aziz, selain bacaan ratib Al-Attas dan sesi soal jawab agama,” kongsinya.
Pada 2021, Meranti Furniture mencatat jualan RM25 juta dan mensasarkan RM30 juta tahun ini.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang produk Meranti Furniture, anda boleh layari laman web www.merantifurniture.com.