fbpx

Indonesia catat 171 kes subvarian BQ.1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai dinasihatkan untuk mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 di fasiliti kesihatan wilayah masing-masing. - UNICEF

JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan peningkatan kes Covid-19 melibatkan subvarian Omicron BQ.1 yang kini mencecah 171 orang, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia kelmarin.

Selain subvarian BQ.1, kementerian tersebut turut mengenal pasti 130 kes melibatkan subvarian XBB dan 16 subvarian XBB 1 di negara itu.

“Sebanyak 171 kes BQ.1 telah dikesan melalui jujukan genom penuh (WGS),” kata Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi kelmarin.

Siti Nadia berkata, pemerintah terus memantau pintu masuk Indonesia untuk meminimumkan penularan varian baharu termasuk memperkukuh pemeriksaan WGS di seluruh negara.

Kementerian itu juga mengeluarkan arahan baharu kepada pejabat kesihatan wilayah, daerah/bandar serta hospital untuk menjalankan pemeriksaan WGS terhadap pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU). 

“Ini menjadi langkah berjaga-jaga kerana kami tahu varian baharu berpotensi meningkatkan kes,” kata Siti Nadia.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammad Syahril berkata, hampir 25 peratus kes Covid-19 semasa yang disahkan adalah subvarian Omicron XBB dan BQ.1.

“Tidak mustahil sekiranya nanti ia akan mendominasi seperti subvarian BA.4 dan BA.5,” kata Mohammad Syahril.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang belum menerima vaksinasi atau dos penggalak yang lengkap agar segera pergi ke fasiliti kesihatan wilayah masing-masing untuk mendapatkan vaksin Covid-19. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI