KLANG – Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) maut ketika bertugas di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan ACS Methodist Jalan Raya Barat di sini, hari ini.
Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 12.15 tengah hari memaklumkan seorang petugas SPR tidak sedarkan diri di atas ‘buggy’ semasa sedang bertugas di tempat tersebut.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia. Hasil siasatan awal dan keterangan isteri mangsa memaklumkan lelaki itu sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, bedah siasat terhadap mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -KOSMO!ONLINE