BANDAR RAYA NEW YORK – Sepasang anak gajah kembar yang jarang ditemui dilahirkan di sebuah zoo di New York bulan lepas, lapor akhbar New York Post.
Zoo Rosamond Gifford di bandar Syracuse menyambut baik kelahiran dua ekor gajah jantan Asia yang dilahirkan induknya, Mali pada 24 Oktober lalu.
Kakitangan di zoo terkejut apabila anak gajah kedua dilahirkan kira-kira 10 jam selepas kelahiran anak pertama.
Mali melahirkan anak gajah pertama seberat 99.7 kilogram (kg) pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) tanpa sebarang komplikasi. Selepas 10 jam iaitu pada pukul 11.50 pagi (waktu tempatan), anak gajah kedua dilahirkan dengan berat 107 kg.
Keadaan gajah kedua yang kelihatan lebih lemah mendorong pasukan penjagaan haiwan dan kakitangan veterinar zoo untuk bertindak. Mali dan dua anaknya kini sihat dan dipantau sepanjang masa oleh kakitangan zoo untuk memastikan keadaannya terus baik.
Kelahiran gajah kembar yang bertahan hidup itu kali pertama direkodkan di Amerika Syarikat. Kelahiran gajah kembar lain sebelum ini direkodkan di beberapa negara di benua Asia dan Afrika.
Kelahiran kembar itu juga adalah detik bersejarah untuk zoo tersebut dan menjadi satu kemenangan untuk misi pemuliharaan gajah Asia kerana spesies itu dianggap terancam serta hanya sekitar 20,000 ekor yang berada di alam liar.
Kadar kelahiran gajah kembar adalah kurang daripada satu peratus. Apabila kelahiran seperti itu berlaku, salah seekor daripadanya sering mati atau terlalu lemah untuk hidup. – Agensi