Oleh IVAN AMIRUL
LABUAN – Beberapa objek dipercayai peluru lama ditemui dalam tandas awam Anjung Ikan Bakar, Kampung Lubok Temiang hari ini.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, pekerja wanita Perbadanan Labuan mendakwa menemui peluru terbabit yang ditinggalkan di atas lantai ketika melakukan rutin pembersihan di tandas awam berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan sejurus menerima laporan.
“Siasatan awal mendapati sebanyak 22 butir peluru berukuran 7.62 mm dan dua butir lagi berukuran 20 mm ditinggalkan di atas lantai tandas terbabit.
“Keadaan peluru itu masih disaluti tanah dan berkarat dipercayai dijumpai di tempat lain sebelum ditinggalkan di dalam tandas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya semua peluru berkenaan dipercayai peninggalan perang dunia kedua dan siasatan lanjut masih diteruskan
Sementara itu, Muhamad Farid menasihatkan orang awam yang menjumpai sebarang objek mencurigakan perlulah memaklumkan segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE