TIADA siapa boleh menafikan kredibiliti Datuk Syafinaz Selamat sebagai seorang guru vokal tersohor di Malaysia.
Dalam bidang nyanyian, kepakaran wanita berusia 49 tahun itu dalam bidang vokal diakui, bahkan menjadi dambaan ramai penyanyi tanah air untuk berguru dengannya.
Kepakaran Syafinaz dalam dunia seni suara juga menjadi tiket untuknya selalu ditagih menjadi juri dalam pelbagai program hiburan terutamanya pertandingan nyanyian.
Sebagai seorang yang arif dalam bidang vokal, kepakaran Syafinaz bukan untuk melatih seseorang mendalami bidang nyanyian sahaja.
Bahkan Syafinaz turut menggunakan kepakarannya untuk menjadi guru vokal kepada qari dan qariah bagi memantapkan taranum dalam melagukan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan lebih indah.
Tak ajar taranum
Syafinaz ketika ditemui Pose baru-baru ini berkata, dia teruja dan bersyukur apabila dipanggil oleh sebuah akademi di Negeri Sembilan untuk mengajar qari dan qariah di sana.
“Alhamdulillah saya dipanggil oleh Akademi Tarannum Negeri Sembilan untuk mengajar qari dan qariah di sana tentang vokal.
“Saya bukanlah mengajar mereka taranum, tetapi tentang vokal daripada segi pernafasan dan kawalan suara,” katanya.
Jelas juri tetap program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu lagi, melagukan ayat suci al-Quran sama seperti menyanyi dan memerlukan kawalan vokal yang betul.
“Mengaji sama seperti menyanyi. Ada melodinya tersendiri dan kawalan pernafasan yang betul.
“Walaupun mengajar aspek vokal, tapi itu bukan bermakna saya tidak tahu mengaji. Saya orang Johor dan pergi sekolah agama.
“Anda mungkin melihat saya ‘begini’ (penampilannya), tetapi jangan menilai saya,” tegasnya.
Gembira, berbesar hati
Kata guru vokal itu lagi, dia berasa sangat gembira dan berbesar hati apabila dipanggil oleh pengetua di Akademi Tarannum itu untuk mengajar qari dan qariah di sana.
Lebih membuatkan Syafinaz teruja apabila mereka langsung tidak menilai luarannya sebagai seorang selebriti dan bersikap terbuka.
“Menariknya mengajar qari dan qariah ini, mereka berfikiran terbuka kerana mereka menuntut ilmu. Ilmu yang saya ajarkan itu untuk mereka baiki diri sendiri.
“Ilmu itu bukan satu sahaja, tetapi luas dan berkaitan. Alhamdulillah orang melihat saya dari sudut positif,” katanya.
Pada masa sama, Syafinaz juga mahu masyarakat melihat kerjaya sebagai guru vokal itu juga boleh mendatangkan faedah bukan sahaja kepada orang lain, bahkan juga kepada diri sendiri.
Katanya, bidang vokal juga boleh dijadikan satu ilmu pengetahuan dan bukan lagi dianggap ‘kosong’ semata-mata.
“Saya mahu masyarakat menganggap bidang vokal ini sebagai suatu pembelajaran serius. Jadi rakan-rakan saya (guru vokal) yang lain akan dipandang tinggi dan kerjaya mereka dilihat boleh ‘buat duit’.
“Sebabnya orang selalu tertanya-tanya bidang vokal ini boleh buat duit ke? Boleh hidup ke? Jadi saya mahu ubah persepsi itu,” ujar Syafinaz.