KUALA PILAH – Tular tiga video berdurasi kurang 30 saat di aplikasi WhatsApp membabitkan beberapa individu tidak berpuas hati apabila tidak dapat membuang undi dalam kejadian di Balai Raya Melang, Kampung Gemuruh, di sini.
Difahamkan, beberapa individu tidak sempat membuang undi apabila pusat pengundian berkenaan ditutup pada pukul 2 petang.
Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Parlimen Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya mengikut apa yang telah diwartakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kalau pusat pengundian berkenaan diarahkan tutup pukul 2 petang, petugas akan menutup pada masa berkenaan. Kita nak elakkan ada bantahan kalau kita buka lebih dari waktu mengundi yang telah ditetapkan dalam Warta Kerajaan.
“Sewajarnya, sebelum hari pengundian, semua pengundi telah menyemak terlebih dahulu butiran pengundian membabitkan tempat mengundi dan waktu tempat mengundi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, sehingga kini pihak berkenaan masih belum membuat sebarang laporan polis dan kes dirujuk kepada pihak SPR.
Untuk rekod, selain Balai Raya Melang, sebuah lagi pusat mengundi di Kuala Pilah diwartakan tutup pada pukul 2 petang iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chun Hua, Kuala Pilah. – KOSMO! ONLINE