KEBIASAANNYA, manusia dan beberapa jenis haiwan ternakan yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji pada setiap hari.
Berbeza dengan kisah ini, walaupun pelik, tetapi percayalah bahawa pokok juga diberi makan nasi sama seperti manusia.
Memang kedengaran agak pelik, namun itulah antara adat serta amalan ritual yang masih dilakukan oleh sebahagian masyarakat di atas muka bumi ini.
Jika anda pernah ke Republik China, sebahagian penduduk di daerah Enshi Tujia dan Miao yang terletak di wilayah Hubei masih mengamalkan adat aneh tersebut.
Bagi masyarakat di sana, mereka percaya budaya dan amalan yang dilakukan sejak ratusan tahun itu bakal membawa tuah kepada kehidupan mendatang.
Pasti ramai terfikir, bagaimana masyarakat di daerah tersebut memberi makan nasi kepada pokok?
Disebabkan pokok tiada mulut seperti manusia mahupun haiwan, masyarakat di sana menggunakan cara tersendiri sebagai alternatif bagi memastikan nasi dapat ‘disuap’ dan ‘dimakan’ oleh tumbuhan berkenaan.
Tumbuhan yang dipilih awalnya akan ditoreh pada bahagian batang pokok tersebut terlebih dahulu.
Caranya sama seperti melakukan torehan pada pokok getah untuk mengeluarkan susu. Bezanya, pokok yang ditoreh bukan jenis getah dan tidak mengeluarkan susu.
Torehan yang dihasilkan bertujuan untuk membuat sedikit ruang menyerupai mulut, sebelum nasi disuap’ dan ‘dimakan’ oleh pokok tersebut.
Salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Hoe berkata, mereka percaya amalan memberi makan nasi kepada pokok pada musim panas akan menjadikan tumbuhan itu lebih subur dan sihat.
Malah, tindakan tersebut dianggap membawa tuah dan kemakmuran berganda kepada kehidupan mereka.
“Tumbuhan yang diberi makan nasi dipercayai akan menghasilkan bunga dan buah yang lebih banyak serta baik kualitinya pada musim berkenaan.
“Nasi yang kami berikan kepada pokok-pokok ini adalah sama seperti yang kami makan. Kami hanya memberi pokok-pokok ini makan nasi tanpa lauk-pauk,” katanya.
Ritual yang dilakukan dan diamalkan penduduk di dua daerah tersebut turut mendapat respons daripada pelbagai lapisan masyarakat dan netizen.
Ada yang menyifatkan perbuatan memberi makan nasi kepada pokok merupakan perkara pelik yang tidak masuk akal terutama pada zaman moden.
Hal tersebut kerana tumbuhan mampu hidup sendiri dengan kehadiran cahaya matahari, air dan udara, tanpa perlu diberi makan nasi seperti manusia atau haiwan.
“Nasi bukan untuk pokok. Nasi adalah makanan ruji manusia serta haiwan ternakan dan bukannya kepada tumbuhan.
“Pelik, tapi itulah kepercayaan masyarakat di sini yang perlu kita hormati,” ujar salah seorang netizen yang juga berasal dari Tanah Besar China.
Pun begitu, kebanyakan penduduk di sana terutama dalam kalangan veteran dan warga emas masih berpegang teguh dengan tradisi tersebut.
Masyarakat di sana percaya serta berpendapat, terdapat banyak perbezaan yang disaksikan mereka sebelum dan selepas memberi makan nasi kepada pokok-pokok berkenaan.
Menariknya, pokok-pokok yang diberi makan nasi itu tumbuh dengan lebih baik dan subur. Malah, ia mendatangkan tuah kepada hidup si pemberi nasi seperti kesihatan lebih baik, dijauhkan daripada penyakit serta dipanjangkan usia.