KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunapakai pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini dilihat sedikit unik berbanding edisi sebelumnya apabila mempunyai proses khas bagi menguruskan pengundi yang mempunyai simptom Covid-19.
Keadaan itu sekali gus menterjemahkan proses demokrasi di Malaysia meraikan setiap lapisan masyarakat tanpa ada dikecualikan, seterusnya membolehkan kerajaan dibentuk dipilih secara saksama.
Salah seorang pengundi yang enggan namanya didedahkan berkata, status sebagai individu Covid-19 tidak menjadi halangan buat dirinya untuk mengundi wakil rakyat pada pilihannya kali ini.
“Dengan proses tersusun, ia sangat membantu sehingga proses akhir kerana petugas Kementerian Kesihatan (KKM) turut membantu.
“Sebaik sahaja sampai di pusat mengundi, saya memberitahu keadaan diri kepada petugas SPR dan dia membawa kepada petugas khas untuk menguruskan proses mengundi,” katanya kepada di sini tadi.
Katanya, petugas KKM turut memberikan pelekat khas berwarna biru yang menandakan dirinya pesakit Covid selain turut ditanya berkenaan saluran mengundi.
“Sebelum saya mengundi, petugas itu akan memastikan saya sentiasa memakai pelitup muka dan sanitasi, kemudian memberi keutamaan kepada saya untuk mengundi dulu daripada mereka yang lain,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau menggunakan dakwat yang sama dengan orang lain untuk memangkah, beliau menjawab, mereka telah disanitasi sebelum mengundi mencelup jari ke dalam dakwat tersebut.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, individu yang positif Covid-19 perlu berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut bagi memudahkan urusan pengundian kelak.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menjelaskan semua pengundi termasuk mereka yang disahkan Covid-19 perlu mematuhi langkah am ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan proses pengundian lancar dan selamat.
“Petugas kesihatan juga ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi yang positif Covid-19,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE