HULU TERENGGANU – Seramai 250 Orang Asli dari suku Semaq Beri yang menetap di Kampung Sungai Berua di sini teruja keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggung jawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh, 47, berkata, mereka mengundi di pusat pengundian, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah di sini yang terletak kira-kira enam kilometer dari perkampungan Orang Asli tersebut.
“Walaupun agak jauh, ia tidak menghalang kami untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan sampai di pusat pengundian seawal pukul 8.30 pagi.
“Lagipun rata-rata kami memiliki kenderaan sendiri manakala jaringan jalan raya disediakan kerajaan juga baik,” katanya ketika ditemui di SK Tapah di sini hari ini.
Rosli berkata, beliau telah berpesan kepada penduduk kampung agar keluar mengundi awal selain tidak lupa membawa kad pengenalan masing-masing.
Tambah beliau, pengundi Orang Asli di Kampung Sungai Berua kini meningkat kepada 250 orang berbanding 150 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sementara itu, seorang pengundi muda Orang Asli, Era Alias, 21, berkata, dia teruja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kali.
“Saya tidur awal malam tadi, pukul 7.30 pagi sudah bersiap bertolak ke pusat mengundi bersama ahli keluarga serta kawan sekampung,” katanya. – KOSMO! ONLINE