GEORGE TOWN – Kelibat seorang lelaki yang mengenakan kostum watak Captain America di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, Air Itam di sini menarik perhatian pengundi yang sedang beratur menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Muhamad Shahrizal Mat Sahat, 35, yang muncul kira-kira pukul 10 pagi di pusat mengundi itu turut mempamerkan aksi superhero ketika orang ramai melihat kehadirannya.
Muhamad Shahrizal berkata, dia memakai kostum berkenaan pada hari mengundi untuk menghiburkan hati para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para pengundi yang menunggu giliran.
”Ini pertama kali saya memakai kostum Captain America ini di pusat mengundi, saya hanya mahu memeriahkan keadaan di sini.
”Saya turut menunaikan tanggungjawab saya sebagai pengundi, jadi boleh kita katakan pada orang ramai Captain America pun turun mengundi, jadi takkan anda yang layak tidak mahu mengundi hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini dia bersama rakan-rakan yang dikenali sebagai kumpulan Adiwira Pulau Pinang sering turun menghiburkan orang ramai dengan kostum pelbagai watak seperti Predator, Black Panther dan lain-lain.
”Kali ini sempena mengundi saya dan rakan-rakan turun mengenakan kostum bagi menceriakan suasana mengundi.
”Rakan saya yang memakai kostum Predator turun mengundi di Dewan Komuniti di Farlim, dan saya mengundi di SK Sri Aman di sini,” katanya.
Tambahnya, dia berasa lega kerana telah dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih kerajaan dan pemimpin baharu untuk negara ini.
”Sebagai pengundi saya berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti akan lebih prihatin kepada rakyat dan membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE