fbpx

PRU15: Pilu, kali pertama mengundi ketika rumah banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlah dan suami, Rosly menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Japerun Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka, pagi ini.

ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri warga emas tetap menunaikan kewajipan mengundi meskipun kediaman mereka di Belimbang Dalam di sini ditenggelami banjir kilat sejak minggu lalu.

Menurut Ramlah Kassim, 64, dia dan suami Rosly Taib, 63, telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Japerun Durian Tunggal dan berteduh di situ selama enam hari.

“Tadi kami berdua tetap keluar mengundi pada pukul 8.30 pagi, memang sedih, ini adalah kali pertama saya mengundi dalam keadaan rumah ditenggelami banjir dan bertolak dari PPS.

“Kali ini memang saya berazam untuk keluar mengundi walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi kerana harapan saya ingin melihat perubahan berlaku setelah sekian lama menunggu,” katanya ketika ditemui di PPS itu, pagi ini.

Tambahnya, dia yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam sempat meninjau keadaan rumahnya yang kini telah dinaiki air setinggi satu meter.

“Setahun paling kurang tiga kali, paling teruk enam kali rumah kami banjir, pada awal Januari lalu air naik sehingga bumbung rumah tetapi tidak ada penyelesaian yang ditawarkan oleh pihak terlibat,”katanya.

Sementara itu, ibu tiga anak, Siti khadijah Nordin, 40, yang ditemui di PPS itu memberitahu, rata-rata mangsa bencana banjir mengalami kesulitan untuk keluar mengundi kerana tiada bantuan pengangkutan disediakan.

“Saya mengundi di sini, suami di Gangsa, jadi kami menghadapi masalah untuk ke pusat pengundian pagi ini.

“Sepatutnya sediakan lah pengangkutan untuk mangsa banjir ke tempat pengundian berdekatan, kami ini sudahlah ditimpa bencana apa salahnya bantu untuk sama-sama pastikan proses demokrasi ini berjalan lancar,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di PPS itu sehingga pukul 10.40 pagi tadi mendapati rata-rata mangsa banjir telah keluar mengundi seawal pukul 8 pagi tadi.

PPS itu menempatkan seramai 50 mangsa yang terjejas dalam banjir kilat termasuk dari kawasan Bukit Balai, Bukit Tambun, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing Dalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI