PETALING JAYA – Teruja menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, pelakon Elfira Loy mengakui terlalu gemuruh sehingga tiba di Pusat Mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seawal pukul 7.50 pagi tadi.
Bersyukur sudah selesai membuang undi, pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 28, itu turut menitipkan beberapa tip untuk pengundi lain.
“Alhamdulillah sudah tunaikan tanggungjawab untuk PRU15. Tiba di pusat mengundi pada pukul 7.50 pagi dan selesai pada 8.30 pagi.
“Pergi awal sebab terlalu gemuruh sehingga tidak boleh tidur,” katanya dalam satu hantaran Instagram tanpa mendedahkan lokasi pusat pengundian.
Dalam hantaran sama, dia menasihatkan agar setiap pengundi membuat semakan saluran dan lokasi mengundi yang tepat.
“Pastikan anda berada di lokasi dan saluran mengundi yang tepat. Lebih baik bawa telefon bimbit dan kad pengenalan sahaja untuk melancarkan proses.
“Kemudian, untuk proses celup jari. Jangan masukkan jari terlalu dalam ke dalam botol dakwat macam saya, ya.
“Antara benda yang tidak perlu dibawa ialah pen dan cecair pembasmi kuman (sanitizer) kerana sudah disediakan,” kongsinya.
Ujarnya, setiap proses akan lebih pantas sekiranya pengundi tersebut mengikut arahan dengan baik.
“Semuanya akan lebih cepat jika anda sendiri mudahkan proses tersebut.
“Saya sendiri pengundi ke-12 tetapi beratur lama.
“Jadi, marilah kita semua mudahkan proses mengundi dan turun menunaikan tanggungjawab,” katanya lagi.
Hari ini, seramai 21 juta pengundi berdaftar seluruh negara menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sempena PRU15 yang diadakan pada hari ini.
Proses demokrasi tersebut bakal menentukan kerajaan dan calon Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat untuk tempoh pemerintahan lima tahun akan datang. – KOSMO! ONLINE