GUA MUSANG – Seorang ibu muda Orang Asli suku kaum Temiar yang masih dalam pantang tetap semangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan membawa anak lelaki yang berusia tiga hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di sini hari ini.
Aleh Jasin, 20, dari Kampung Langsat berkata, dia terpaksa membawa bayi sulungnya, Mas Nawi Fakri yang baru dilahirkan tiga hari lalu.
Katanya, dia tiba di SK Kuala Betis pada pukul 9 pagi dengan membonceng motosikal bersama ibunya.
“Saya membawa bayi yang masih berusia tiga hari kerana masih menyusu badan dan bimbang dia menangis.
“Saya bersyukur proses mengundi berjalan lancar dan diberi keutamaan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi,” katanya.
Seorang lagi Orang Asli dari Kampung Jias C, Lemnyem Sahari, 20, turut membawa bayi lelakinya yang berusia hampir dua bulan.
Katanya, meskipun masih berpantang dia tetap datang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya gembira kerana berjaya menyelesaikan tanggungjawab dan memilih pemimpin yang dimahukan,” katanya – KOSMO! ONLINE