MUAR – Sanggup berhabis RM20,000 pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.
Itu pengorbanan Ketua Pegawai Eksekutif A&M Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Radzi Mansor pulang ke kampung halaman di Jalan Ibrahim di sini.
Radzi bersama bapanya, Mansor Salim dan kakak, Nor Hafiza mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini.
“Alhamdulillah syukur saya dapat pulang mengundi bagi memilih pemimpin atau wakil rakyat di Parlimen Muar.
“Saya pulang ke Malaysia pada 30 Oktober lalu, memang persediaan untuk pulang mengundi di sini,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Radzi yang juga pemilik Hotel Mekah R’Suites Mekah berharap pemimpin yang dipilih rakyat khususnya penduduk di Muar agar dapat berbakti dengan tulus ikhlas selain dapat membangunkan daerah ini setaraf dengan bandar-bandar maju di luar negara. – KOSMO! ONLINE