MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai membuang undi di pusat pengundian, di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini hari ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Marang itu tiba di pusat mengundi pada pukul 8.50 pagi sebelum selesai membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.
Penyandang kerusi Parlimen Marang itu ditemani isterinya, Tok Puan Seri Zainab Awang Ngah dan anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil.
Seramai 4,000 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini di tujuh saluran disediakan di pusat terbabit.
Pengundi mengambil kesempatan cuaca baik pada pagi ini untuk keluar mengundi dengan beratur di pekarangan pusat mengundi seawal pukul 7.30 pagi.
Pada PRU15 ini, Abdul Hadi dicabar calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Abdul Shukur dan Dr. Zarawi Sulong (Parti Pejuang Tanah Air). – KOSMO! ONLINE