GOMBAK – Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini.
Azmin yang berbaju batik tiba bersama isterinya Datin Seri Shamsida Taharin pukul 8.35 pagi sebelum membuang undi.
Azmin berentap dengan empat lagi calon lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan bertanding bagi mengekalkan kerusi tersebut bersama pesaing yang mempunyai kekuatan masing-masing antaranya calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Kerusi Parlimen Gombak disifatkan sebagai ‘kerusi panas’ apabila Azmin berdepan bersama anak didiknya sebelum ini yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Hari ini nasib Azmin akan ditentukan oleh pengundi-pengundi kawasan parlimen berkenaan yang mana beliau sama ada akan terus kekal atau sebaliknya.
Sebelum ini, pengacara yang juga selebriti Azwan Ali yang juga adik kepada Azmin telah menarik diri selepas tidak menghantar borang pencalonan pada saat-saat akhir. – KOSMO! ONLINE