Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Warga Wilayah Persekutuan diminta supaya tabah dan sabar mengharungi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai Rabu ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan PKPB penting bagi memutuskan rantaian Covid-19 khususnya di Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, PKPB sudah pasti menjejaskan kehidupan warga kota sekali lagi.
“PKPB sekali lagi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Saya berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar warga Wilayah Persekutuan melalui cabaran ini secara bersama, penuh tabah serta kesabaran.
“Kita akan tumpukan usaha memutuskan rantaian Covid-19 sekali lg,” katanya menerusi ciapan di Twitter, sebentar tadi.
Katanya, kementeriannya juga akan memperkenalkan pakej WilayahCakna 3.0 dalam masa terdekat yang bakal memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, Annuar berkata, beliau juga mahu semua saluran media termasuk radio dan televisyen untuk siarkan segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dengan jelas bagi mengelak kekeliruan.
“Jangan berulang kes SOP balik dari Sabah. Akibat ramai kurang faham, yang patuhi SOP pun dilabel tidak patuh dan ‘double standard’,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau akan kembali mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri setiap hari bersama ketua-ketua jabatan dan membantu pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam ini dan esok.
Arahan PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa mulai 14 hingga 27 Oktober ini. – K! ONLINE