BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) akan melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membawa negara dan rakyat maju ke hadapan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu bersedia untuk membuka lembaran baharu, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.
Pada masa sama, jelasnya, BN berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang.
“Kami terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Mengundi PRU15 di Bagan Datuk Waterfront di sini hari ini.
Menurut beliau, rekod perkhidmatan BN selama ini telah membuktikan kepimpinannya sentiasa kekal setia dan sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat sama ada ketika susah dan senang, sekali gus membuktikan mereka amat dekat dengan denyut nadi rakyat.
Beliau memaklumkan kebanyakan pemimpin BN bukanlah elitis sebaliknya terdiri daripada pelbagai latar belakang kepimpinan, lebih mesra dan mudah didampingi oleh rakyat.
Jelasnya, kepimpinan BN tidak hanya muncul lima tahun sekali sebaliknya jerih payah rakyat tidak kira waktu dan musim, sentiasa mendapat sentuhan daripada mereka.
“Justeru, pilihan raya kali ini adalah peluang untuk seluruh rakyat berganding bahu dan bersatu hati dalam menyelamatkan negara ini dan tidak bereksperimen dengan mereka yang tidak ada legasi rekod pembinaan negara.
“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan BN yang telah mereka saksikan dahulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat,” ujar beliau.
Menurutnya, pengalaman 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menunjukan seorang pemimpin yang tersohor sahaja tidak mencukupi jika ia tidak didokong oleh barisan Kabinet berpengalaman dan parti yang bertunjangkan akar umbi. – KOSMO! ONLINE