KUALA LUMPUR – Kira-kira 588 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Gabungan yang terdiri daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Yayasan Pembangunan Buku Negara dan ratusan lagi NGO mahu Ismail Sabri dilantik semula sebagai Perdana Menteri ke-10 sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat.
Wakil gabungan tersebut, Hasan Hamzah berkata, pihaknya yakin Ismail Sabri adalah individu yang mampu menyatupadukan semula rakyat di negara ini yang ketika dilihat sedang berpecah.
Jelasnya, Perdana Menteri sebelum ini telah buktikan bagaimana beliau menyatupadukan pihak kerajaan dan pembangkang sehingga kedua-duanya mampu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) politik sebelum ini.
“Buktinya sudah jelas dan kami gabungan NGO sentiasa menyokong Perdana Menteri dan jika Barisan Nasional (BN) di beri mandat mentadbir, kami berharap Yang Di Pertuan Agong memilih beliau (Ismail Sabri) sebagai PM ke-10.
“Kami juga yakin Ismail Sabri individu yang paling layak memimpin berdasarkan rekodnya yang bersih, membuat keputusan tanpa campur tangan daripada pihak lain termasuk tidak mencampuri isu berkaitan badan kehakiman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada gabungan NGO itu akan menyokong parti lain selain BN sekiranya parti itu gagal mendapat mandat rakyat, Hasan berkata, gabungan itu tetap teguh di belakang Ismail Sabri dan parti pimpinannya.
Jelas Hasan, sekiranya parti lain diangkat menjadi kerajaan terutamanya Pakatan Harapan (PH), pihaknya akan melakukan satu perhimpunan besar pada Ahad nanti yang bakal disertai ribuan ahli NGO.-KOSMO! ONLINE.