SEGALA teka-teki ke mana hala tuju raja pecut negara, Muhamamad Azeem Fahmi akhirnya terjawab selepas atlet kelahiran Perak itu memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat (AS).
Pelari berusia 18 tahun tersebut dalam dilema apabila perlu mempertimbangkan memilih dua tawaran melanjutkan pengajian sama ada Universiti Auburn atau Universiti Houston.
Kini, Auburn menjadi pilihan Azeem selepas mengesahkan perkara tersebut di media sosialnya miliknya.
Azeem sebelum ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Colombia, Ogos lalu.
“Dari Malaysia ke Auburn. Welcome Home Azeem,” dedah Azeem di akaun Instagram miliknya semalam.
Lebih menarik, Azeem bakal dibimbing pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan pemegang rekod dunia, Leroy Burrell sebagai ketua jurulatih acara olahraga dan padang.
“Selamat datang ke keluarga Auburn, Azeem,” kata Burrell.
Terdahulu, raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 itu sudah kembali menjalani latihan dengan melakukan proses conditioning dan dijadualkan menghadapi satu kejohanan di Sabah bulan depan.
“Saya nak dapatkan angin, rentak serta suasana kejohanan supaya saya bersedia dan tiada masalah sesuaikan diri apabila berada di AS,” jelas pelari pecut dari Perak itu.
Dua pentas utama menjadi sasaran Azeem tahun depan iaitu Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary pada Ogos dan Sukan Asia di Hangzhou, China sebulan kemudian.