WASHINGTON – Ibu kepada seorang pengantin lelaki menjadi mangsa kecaman netizen kerana memakai gaun berwarna putih yang membuatkannya kelihatan seperti pengantin, lapor akhbar New York Post semalam.
Berdasarkan klip video yang dikongsikan di laman TikTok, wanita berambut perang itu memakai gaun putih labuh yang mempunyai belahan kain sehingga paras paha serta dihiasi perincian mutiara, labuci serta korset lutsinar.
Ibu pengantin lelaki itu turut memakai hiasan kepala yang tinggi di samping gaun paras dada tersebut.
Video dikongsikan anak perempuannya itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen yang menyifatkan pemakaiannya sebagai tidak sesuai.
“Mengapa dia memakai gaun putih? Dia tidak dibenarkan (berpakaian begitu) pada majlis perkahwinan saya. Ibu atau bukan, ia bukan hari bersejarah untuknya tetapi untuk pasangan pengantin,” kata seorang pengguna media sosial.
“Ia adalah hari meraikan pasangan pengantin, bukan dirinya. Ia satu tindakan yang menggerunkan,” kata seorang lagi netizen. – Agensi