fbpx

Keluarga mangsa MH17 kecewa tiada kelibat si pelaku di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR SHAZANA antara yang terkorban dalam insiden pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

GEORGE TOWN – Waris pramugari Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh yang dilaporkan ditembak jatuh di Ukraine akur dengan keputusan mahkamah Belanda kelmarin, namun hampa kerana berlangsung tanpa keha­diran si pelaku.

Ibu Nur Shazana, Sharom Ibrahim, 66, berkata, mereka sekeluarga menerima keputusan mahkamah terhadap tiga daripada empat tertuduh yang disabitkan kesalahan.

Namun, ujar Sharom, selain ketidakhadiran tiga si pelaku tersebut ke mahkamah, kete­rangan berhubung motif bahan api (peluru) dilepas tertuduh ke arah pesawat dalam kejadian yang genap lapan tahun empat bulan itu masih belum meleng­kapkan lagi persoalan yang timbul.

“Ya, kami memang puas hati selepas mendengar keputusan mahkamah yang ditonton menerusi internet malam tadi (kelmarin), namun ia berlangsung tanpa kehadiran tertuduh. Itu yang menimbulkan tanda tanya.

“Ke mana dan di mana mereka (tertuduh) ketika ini? Kami tahu mereka tembak tetapi kami cuma nak tahu kenapa dan siapa arah tembakan?

GAMBAR bertarikh 20 Julai 2020 menunjukkan Sharom yang masih tidak dapat membuka kotak peribadi milik anaknya yang juga pramugari pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

“Meskipun kematian mangsa terbela, kita pun dah dapat full stop (keputusan akhir) tetapi masih tiada penjelasan yang tepat. Kita tahu yang terlibat takkan kembali tetapi kami juga perlu tahu motif sebenar perbuatan mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, Sharom memberitahu, dia sehingga ke saat ini masih tidak dapat melupakan Nur Shazana meskipun kejadian sudah berlalu lapan tahun lalu.

“Hati ibu mana yang dapat melupakan saat kehilangan insan tersayang. Duk tengok kapal terbang lalu atas bumbung rumah setiap hari, memang sentiasa teringat dan tak pernah terpadam,” jelasnya.

Mengenai kotak pakaian arwah yang diterimanya selepas kejadian berlaku, Sharom menambah, dia belum tergerak hati untuk membuka bungkusan yang masih dibalut kemas dan disimpan di ruang rumah.

“Mungkin akan dibuka selepas semua kes (MH17) selesai. Kotak masih disimpan elok,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI