PETALING JAYA – Penentuan nasib parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diputuskan apabila lebih 21 juta pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) keluar membuang undi hari ini.
SPR dijangka membuat pengumuman mengenai keputusan pilihan raya lewat malam ini selepas kesemua kertas undi daripada keseluruhan 221 kawasan Parlimen selesai dikira.
Kerusi Parlimen Padang Serai tidak dipertandingkan serentak apabila salah seorang calon, M. Karupaiya meninggal dunia akibat serangan jantung Rabu lalu.
Keputusan pada hari ini bakal menjawab persoalan sama ada PRU15 yang beraspirasi kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu stabil dan kukuh akan menjadi kenyataan.
Parti yang memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen akan membentuk kerajaan, tetapi untuk membentuk kerajaan yang kukuh memerlukan dua pertiga atau 147 kerusi Parlimen.
Empat gabungan parti yang bertanding antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan lambang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjadikan PRU15 agak sengit.
PRU15 mencatat sejarah calon teramai dalam pilihan raya apabila seramai 939 orang bertanding bagi merebut keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Seramai 441 calon pula akan bersaing di 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.
PRU15 juga mencatatkan sejarah jumlah calon Bebas yang paling ramai bertanding membabitkan seramai 108 individu mengambil bahagian di seluruh negara.
SPR menetapkan 14 hari tempoh berkempen selepas hari penamaan calon pada 5 November, manakala pengundian awal diadakan pada 15 November lalu.
Hari mengundi awal pada Selasa lepas menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 94.72 peratus daripada 224,828 yang layak mengundi awal.
Penganalisis sosio politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PRU15 yang menyaksikan pertembungan banyak penjuru sememangnya amat sengit.
Kata beliau, belum pasti gabungan mana yang mendominasi pertandingan walaupun terdapat pihak tertentu kelihatan lebih ke depan di media sosial.
Justeru, kata beliau, jawapan sama ada Malaysia mampu memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh selepas 19 November ini kini terletak di tangan para pengundi.
“Esok (hari ini) adalah semata-mata di atas pilihan rakyat dan kita patut mengiktiraf peranan pengundi dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
“Jika undi rakyat terpecah begitu banyak, maka sudah tentu tiada gabungan politik akan dapat membentuk kerajaan yang dominan.
“Pengundi perlulah menerima hakikat apa sahaja bentuk pentadbiran kerajaan selepas itu adalah di atas pilihan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata, bagi sesetengah pengundi terutama yang tiada kerpartian mungkin belum tahu gabungan mana perlu diundi.
Menurut beliau, langkah terbaik dalam membuat keputusan adalah menilai manifesto yang dikemukakan oleh setiap gabungan politik bertanding.
Kata beliau, sebuah gabungan politik yang harus diyakini adalah yang menawarkan janji pilihan raya yang realistik dan mampu dilaksanakan.
“Pengundi yang membaca manifesto cuma sekitar 10 peratus. Menilai manifesto perlu dijadikan sebagai budaya baru pengundi Malaysia” katanya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir pula berpandangan, peratusan keluar mengundi dalam PRU kali ini boleh mencecah sehingga 80 peratus.
Jelas beliau, ramalan banjir besar akan melanda seluruh negara semasa PRU15 hampir pasti tidak berlaku berdasarkan keadaan cuaca semasa.
Justeru, katanya, orang ramai perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang beramai-ramai keluar mengundi hari ini untuk memilih sebuah kerajaan baharu.
“Sebelum ini ada parti politik membantah PRU15 dengan alasan banjir besar, tetapi nampaknya tidak begitu.
“Tidak mungkin banjir seluruh negara. Itu realitinya sekarang. Banjir besar bukan lagi isu dan yang penting orang harus keluar mengundi,” katanya.
Beliau juga berpandangan kemungkinan keputusan PRU15 akan menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah kerana perpecahan undi.