BANGKOK – Penduduk di rantau sempadan Thailand-Myanmar hidup menderita kerana menyedut udara beracun mengandungi gas hidrogen sianida (HCN) yang dilepaskan oleh sebuah kilang di Myanmar, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Penduduk daerah Mae Sai dalam wilayah Chiang Rai melakukan protes selama berbulan-bulan mengenai bau tidak menyenangkan itu serta jerebu yang menyelubungi kediaman mereka.
Mereka turut mengadu kerap sakit kepala selain mengalami pening, batuk dan sakit dada sejak mula menyedut udara beracun itu.
“Penduduk tempatan boleh menahannya. Semua orang akan mati. Terima kasih atas bantuan dan kerjasama anda,” kata seorang penduduk secara sinis yang mengalami batuk berdarah.
Masalah tersebut telah disuarakan di laman-laman media sosial beberapa minggu lepas dengan tanda pagar #savemaesai menjadi trending di laman Twitter Thailand.
Menurut laporan, gas beracun dan asap itu berasal dari sebuah kilang di sebelah Myanmar.
Pejabat Kawalan Alam Sekitar dan Pencemaran melaporkan, mereka menyiasat kualiti udara di kawasan tersebut Khamis minggu lepas.
Mereka membuat kesimpulan dalam laporan dikeluarkan 11 November lalu bahawa jerebu tersebut mengandungi gas HCN dan berasal daripada garam sianida yang digunakan oleh kilang tersebut.
Pejabat berkenaan bersama Hospital Maesai mencadangkan agar penduduk memakai pelitup muka, menutup pintu dan tingkap serta menggunakan pembersih udara.
Cadangan itu bagaimanapun mendatangkan kemarahan penduduk tempatan kerana kebanyakan mereka tidak mampu untuk membeli pelitup muka atau pembersih udara.
Akhbar Khaosod kelmarin melaporkan bahawa Jawatankuasa Sempadan Perbandaran Thailand-Myanmar (TBC) memberitahu, Myanmar menyedari masalah itu dan penduduknya di Tachileil turut menghadapai isu serupa.
Menurut TBC, gas HCN berasal daripada kilang pengeluar kalsium hidroksida bernama Baan Lom It 999 yang terletak kira-kira 6 hingga 8 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.
Pihak berkuasa Thailand melaporkan mereka memantau rapat situasi itu kerana terdapat sebuah lagi kilang yang terletak sekitar 40 kilometer dari sempadan turut menggunakan banyak sebatian HCN. – Agensi