PASIR MAS – Seorang penoreh getah lemas semasa mengangkat pukat apabila bot yang dinaiki bersama anak lelakinya terbalik di Sungai Danau Tok Uban di sini hari ini.
Mayat mangsa, Mohd. Asri Mohd. Nor, 51, ditemui oleh penduduk kampung itu di kawasan dasar sungai tersebut kira-kira pukul 9.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasarudin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama anaknya, Khairul Nizam, 13, turun ke sungai itu untuk mengangkat pukat kira-kira pukul 7.30 pagi selepas sarapan di sebuah kedai kopi.
Menurutnya, semasa dua beranak itu mengangkat pukat, kayu yang dipacak pada pukat tersebut patah sebelum perahu terbalik dan mereka jatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dipercayai terus tenggelam ke dalam sungai manakala anak lelakinya menjerit meminta pertolongan apabila mereka berdua tidak pandai berenang.
“Penduduk kampung yang berada berhampiran sungai itu sempat menyelamatkan anaknya, namun mangsa tenggelam di dalam air. Penduduk telah melakukan selaman ke dasar sungai sebelum menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasarudin, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Tok Uban. Mayatnya dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE