SEREMBAN – Sebanyak 10,000 biji parasetamol atau ‘panadol’ ditawarkan secara percuma oleh Klinik Penawar Ampangan di sini kepada orang ramai yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Pengarah Urusan Klinik Ampangan, Zaid Al Helmi Mohd. Yunus, 39, berkata, pemberian paracetamol itu merupakan salah satu inisiatif dan tanggungjawab sosial kliniknya dalam memeriahkan suasana pilihan raya.
“Mungkin dengan pemberian paracetamol ini boleh mempengaruhi orang ramai terutama golongan muda keluar mengundi dalam masa sama mereka ada simpanan ubat tahan sakit di rumah.
“Sejak dua ke tiga bulan lalu, berlaku kekurangan bekalan paracematol di kedai serbaneka dan farmasi, jadi kami hendak bantu masyarakat untuk dapatkan ubat serta kekal sihat,” katanya ketika ditemui di Klinik Penawar Ampangan di sini hari ini.
Zaid Al Helmi berkata, orang ramai boleh menebus parasetamol itu secara percuma bermula pukul 8 pagi dengan hanya menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat sebagai bukti.
“Setiap individu layak mendapat satu papan paracetamol dan terhad sehingga 10,000 biji untuk hari pengundian esok 19 November 2022.
” Program ‘Jom Mengundi dan Tebus Panadol Percuma’ ini merupakan pertama kali diperkenalkan oleh Klinik Penawar Ampangan dan kami jangkakan respon positif daripada orang ramai,” katanya.
Menurut Zaid Al Helmi, pemberian parasetamol itu sangat sesuai dalam keadaan negara menjalankan pilihan raya ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa.
“Ketika menjalankan tanggungjawab mengundi, masyarakat diingatkan supaya tetap menjaga kesihatan.
“Setiap undi amat bermakna bagi kita menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara, jangan lupa jalankan tanggungjawab anda,” katanya.
Jelas Zaid Al Helmi, program itu turut dihebahkan melalui WhatsApp dan media sosial Facebook dan Instagram.
Dalam pada itu, pekarangan klinik itu turut dimeriahkan dengan hiasan bendera dan poster pelbagai parti bagi memeriahkan suasana pilihan raya. – KOSMO! ONLINE