BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di negeri New York, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat kebuluran kerana tinggal bersendirian di rumah selepas bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung, lapor akhbar New York Post semalam.
Pejabat Syerif Daerah Ontario mengeluarkan punca rasmi kematian David Conde Sr, 59, dan anak lelakinya, David Conde Jr, sembilan bulan selepas mayat kedua-duanya ditemui di dalam rumah mereka.
Menurut pihak berkuasa, lelaki itu meninggal dunia terlebih dahulu akibat sakit jantung, diikuti anak lelakinya yang maut kerana kekurangan zat makanan.
“Corde dipercayai meninggal dunia terlebih dahulu dan kanak-kanak itu tidak mendapat makanan selepas itu,” demikian menurut kenyataan pejabat syerif yang dipetik laman berita Syracuse.com.
Polis dipanggil ke apartmen Conde pada 15 Februari lalu untuk melakukan pemeriksaan kebajikan atas permintaan ahli keluarga selepas mangsa dan anaknya tidak dilihat atau didengari selama seminggu.
Budak lelaki itu dan bapanya ditemui bersama-sama di dalam bilik tidur tanpa tanda-tanda trauma pada mayat, kata polis.
Akhbar Democrat and Chronicle melaporkan bahawa Conde memperoleh hak penjagaan anak lelakinya sejurus selepas dia dilahirkan dan ibu kanak-kanak itu tidak hadir dalam hidup mereka.
Budak itu dikatakan baru sahaja belajar berjalan selepas menjalani beberapa pembedahan dan pemulihan selama berbulan-bulan kerana masalah kesihatan yang tidak didedahkan. Mangsa meninggalkan ibunya, Michelle Travers dan tujuh adik-beradik.
Siasatan ke atas kematian bapa dan anak lelaki itu telah ditutup secara rasmi, kata polis. -Agensi