FLORIANOPOLIS, BRAZIL – Seorang pelagak ngeri di Brazil memaparkan kemahiran mengimbangkan badan dengan berjalan di atas kabel kendur yang digantung di antara dua belon udara panas di ruang udara kampung halamannya, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Rafael Bridi sebelum ini mencatat nama dalam Guinness World Records selepas berjalan di atas kabel kendur tertinggi dunia. Dia berjalan di antara dua belon udara panas pada ketinggian 1,900 meter di Santa Catarina, Brazil.
Kini, lelaki itu mengulangi aksi serupa di bandar Florianopolis sebagai tanda penghormatan kepada kampung halamannya sendiri.
Aksi tersebut ditaja oleh syarikat kamera, Insta360, yang turut memuat naik video lagak ngeri itu di laman YouTube.
Menurut Bridi, langit Florianopolis menyediakan keadaan optimum bagi pencapaian tersebut.
“Lokasi yang kami pilih menyediakan keadaan amat bagus untuk belon udara panas yang sedang terbang.
“Kami juga memiliki pengemudi-pengemudi belon udara yang melakukan penerbangan unik merentasi ngarai di atas awan. Bersama-sama dengan kru produksi, saya berpendapat kami mempunyai sebuah pasukan yang hebat,” kata Bridi. – Agensi