SEOUL – Korea Selatan menutup ruang udaranya untuk memastikan suasana sunyi dan menawarkan khidmat polis pengiring kepada calon peperiksaan ketika lebih setengah juta pelajar menduduki peperiksaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi kelmarin.
Kementerian Pendidikan berkata, seramai 508,030 pelajar menduduki ujian tahunan itu yang berlangsung selama sembilan jam tahun ini. Peperiksaan itu penting buat pelajar untuk memastikan mereka mendapat tempat di universiti-universiti terkemuka di Korea Selatan.
Bagaimanapun, senario ibu bapa risau ketika menghantar anak-anak untuk menduduki ujian, malah turut berkunjung ke kuil-kuil bagi mendoakan kejayaan, membayangkan betapa pentingnya peperiksaan tersebut yang turut dilihat sebagai pintu kepada kerjaya lumayan bahkan, prospek perkahwinan.
Selama ini, tekanan besar ke atas pelajar dalam sistem pendidikan ultra kompetitif Korea Selatan telah dipersalahkan sebagai punca kemurungan dan kadar bunuh diri remajanya yang merupakan antara tertinggi di dunia.
Peperiksaan yang dikenali sebagai ‘Suneung’ iaitu singkatan kepada Ujian Keupayaan Skolastik Kolej itu diadakan kali ketiga di bawah sekatan Covid-19 pada tahun ini.
Langkah-langkah kawalan pandemik Korea Selatan bagaimanapun berterusan memberi kesan kepada pelajar. Mereka perlu membawa air dan makan tengah hari sendiri serta memakai pelitup muka sepanjang menduduki Suneung yang bermula pukul 8.40 pagi (waktu tempatan).
Pada waktu makan tengah hari, para pelajar yang menduduki peperiksaan akan diberikan skrin tiga segi untuk melindungi mereka daripada orang lain sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan Covid-19. Mereka juga dilarang berbual atau makan dalam kumpulan.
Anggota-anggota polis tempatan dipanggil untuk mengangkut pelajar supaya mereka dapat berada di dewan peperiksaan menjelang waktu akhir 8.10 pagi, sama ada dengan menaiki motosikal atau kereta peronda, seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
Rakaman video yang memaparkan anggota polis membawa pelajar ke dewan peperiksaan menjadi ritual tahunan untuk media Korea Selatan. Bagaimanapun, beberapa pihak berkuasa tempatan mengharamkan penggunaan motosikal untuk mengangkut pelajar pada tahun ini kerana isu keselamatan.
Di Sekolah Tinggi Bahasa Asing Perempuan Ewha, tengah Seoul, sebilangan calon tiba sambil berpegangan tangan dengan ibu bapa mereka yang kelihatan gugup.
Seorang pelajar pula keluar dari kenderaan polis dan bergegas ke dewan peperiksaan dalam keadaan cemas untuk memastikan dia sampai tepat pada waktunya.
Antara setengah juta calon peperiksaan tahun ini, 2,400 disahkan positif Covid-19, demikian menurut kementerian pendidikan. Kesemua mereka menduduki peperiksaan itu di pusat ujian dan kemudahan perubatan khas yang ditetapkan.
Kepentingan peperiksaan tersebut kepada negara terbukti apabila kerajaan Korea Selatan mengambil langkah luar biasa untuk menghapuskan sebarang gangguan yang boleh menjejaskan tumpuan pelajar.
Pejabat awam, bank dan pasaran saham dibuka sejam lebih lewat daripada biasa untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan pelajar tiba tepat pada masanya untuk menduduki peperiksaan Suneung.
Semua perlepasan dan pendaratan di lapangan-lapangan terbang negara itu dibekukan selama 35 minit semasa ujian mendengar bahasa Inggeris dari pukul 1.05 tengah hari kecuali pendaratan kecemasan. Semua pesawat di ruang udara pula wajib mengekalkan ketinggian lebih daripada 3,000 meter (10,000 kaki).
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan berkata, sebanyak 77 penerbangan dengan 18 daripadanya merupakan pesawat antarabangsa telah dijadualkan semula kerana peperiksaan itu. – AFP