PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi di beberapa negeri, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.
MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi di Perlis, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu di Melaka pula diramalkan mengalami cuaca baik pada waktu pagi dan petang.
MetMalaysia meramalkan berlakunya ribut petir dan hujan pada sebelah petang di beberapa negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta negeri di sebelah utara iaitu Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Turut mengalami ribut petir pada sebelah petang melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagi Sarawak, cuaca diramalkan baik pada sebelah pagi esok, namun dijangka berlaku ribut petir dan hujan di beberapa kawasan melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang pada sebelah petang.
Di Sabah, empat kawasan diramalkan mengalami hujan serta ribut petir pada waktu pagi dan petang iaitu di Kudat, Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan manakala Labuan hujan di sebelah petang.
Menerusi kenyataan itu juga, suhu seluruh negara diramal sekitar 24 darjah Celcius dan maksimum 33 darjah Celcius sepanjang hari esok. – KOSMO! ONLINE