fbpx

Boleh berbeza parti, asal tidak berpecah belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIAP rakyat diberi peluang untuk memilih wakil rakyat menerusi proses Pilihan Raya.
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

HARI ini rakyat sekali lagi diberi peluang untuk memilih kerajaan baharu melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRU15 yang melibatkan sejumlah 21,173,638 pengundi itu turut menyaksikan sejarah baharu apabila golongan muda berumur 18 tahun buat pertama kalinya akan turun mengundi.

Seorang pengundi muda dikenali sebagai Irfan, 18, ketika ditemui penulis berkata, dia teruja untuk terlibat dalam PRU15 bagi menentukan hala tuju negara untuk lima tahun akan datang.

Keterujaan remaja berusia 18 tahun itu menunjukkan belia muda hari ini sudah cukup matang untuk meraikan demokrasi.

Kata remaja asal Petaling Jaya itu, dia tidak kisah sebenarnya siapa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan di Malaysia, asalkan kerajaan yang memerintah itu mampu mengembalikan semula kestabilan negara dan membawa keharmonian.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, apa jua keputusan PRU15 yang diperoleh haruslah diterima termasuk menghormati sesiapa sahaja yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Apa jua keputusan PRU15, kita perlu menghormati mandat rakyat termasuk siapa sahaja yang dilantik menjadi Perdana Menteri dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Rakyat kini boleh menilai prestasi ahli kabinet itu sendiri. Mereka yang berprestasi atau berpotensi perlu diangkat dan diberi peluang. Ini akan membantu memulihkan ekonomi negara,” kata Awang.

Menjadikan insiden ‘tsunami’ pemerintahan negara yang berlaku pada PRU14 lalu sebagai pengajaran, Awang mengharapkan kestabilan politik di negara ini dapat dibentuk.

“Politik itu perlu harmoni dan kerjasama yang dibentuk itu harus ikhlas buat rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri.

“Kita tidak mahu lagi ada Perdana Menteri yang tiba-tiba meletak jawatan tanpa berunding dengan parti komponennya. Ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Penolong Pengarah Kluster Kenegaraan, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Ke­pimpinan (i-LEAD), Dr. Muhamad Saifulbakri Yusoof pula berkata, pilihan raya adalah sekadar pro­ses untuk melantik 222 wakil yang akan mengisi kerusi dalam Parlimen.

Justeru selepas kerajaan terbentuk, maka hubungan antara pembangkang dan kerajaan harus menjadi satu kumpulan yang hebat untuk membawa kemajuan negara.

“Pilihan raya adalah sekadar proses untuk melantik 222 wakil yang akan ke parlimen. Biarlah pilihan raya ini ibarat kalau ‘biduk berlalu, biar kiambang bertaut’ selepas itu.

“Sama ada pembangkang atau kerajaan, masing-masing harus menjadi satu kumpulan yang hebat untuk memimpin negara.

“Sebab mereka yang bertan­ding masing-masing alasannya mahu selamatkan negara. Maka sebab itu saya lihat objektif setiap parti adalah sama, untuk memastikan negara berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifulbakri meminta agar pengundi meraikan perbezaan pendapat dan mengelak daripada pergaduhan sesama sendiri.

“Pengundi ada pilihan terten­tu. Namun, jangan disebabkan perbezaan pendapat, akhirnya membawa kepada pergaduhan sesama sendiri.

“Raikan perbezaan pendapat. Selepas pilihan raya, kita semua mahu bangunkan negara secara muafakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI