PETALING JAYA – Ratu Dangdut Amelina berharap semua pihak berhenti daripada mengaitkan namanya dengan dengan video tular keganasan rumah tangga membabitkan seorang lelaki yang didakwa sebagai bekas suaminya.
Kata ibu tunggal anak enam itu, siapa pun identiti pelaku dalam video tersebut, indivitu itu tiada kena mengena dengan kehidupannya sekarang. Dia juga meminta orang ramai memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.
“Sejujurnya saya enggan komen kerana hal itu tiada kaitan pun dengan saya tetapi apabila nama ‘dipetik’ saya cuma boleh cakap kalau video tersebut sudah sampai ke pihak berkuasa, biarkan mereka siasat.
“Sama ada hasil siasatan nanti tunjukkan itu bekas suami saya atau bukan, saya tetap enggan campur tangan. Semua perkara lampau sudah saya buang, saya dan anak-anak ada kehidupan baharu.
“Minta tolong kepada semua pihak fahami perasaan kami. Saya minta maaf, bukan tiada empati tetapi apabila nama disebut-sebut secara tidak langsung bagai menggamit memori lampau,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya sama ada sudah melihat video dimaksudkan, penyanyi Semakin Rindu Semakin Asyik itu bertegas, sejak dari dahulu lagi dia pasti mengelak untuk mendengar atau menonton berita berkaitan keganasan rumah tangga.
Akui penyanyi yang selesa disapa Along itu, pengalaman pahit dilalui suatu masa lalu mengambil masa agak panjang untuk dihapuskan, sekali gus membolehkannya mampu berdiri kembali bersama semangat baharu.
“Saya memang elakkan untuk baca atau tengok berita pasal keganasan lebih-lebih lagi terhadap wanita dan kanak-kanak. Saya boleh ketakutan. Jadi saya tak tengok lagi video yang dikatakan tular itu.
“Sejak pagi tadi pun sudah ada orang sampaikan pasal isu ini tetapi saya ambil pendekatan untuk tidak masuk campur. Itu lebih bagus,” katanya lagi.
Sejak semalam, tular dalam media sosial satu video seorang lelaki mengheret dan memukul seorang wanita yang dipercayai isterinya sehingga mangsa kelihatan tidak berdaya.
Lebih membuatkan netizen geram adalah tindakan ganas itu dilakukan di hadapan seorang kanak-kanak perempuan serta seorang wanita yang didakwa pembantu rumah.
Malah menerusi perincian dalam hantaran semula beberapa laman, pelaku tidak berbaju dalam video berkenaan didakwa sebagai bekas suami penyanyi dangdut terkenal iaitu Amelina atau nama penuhnya Norazlina Amir Sharipuddin, 48.
Terdahulu, penyanyi Asyik itu kemas menyimpan keadaan rumahtangganya hinggalah pada 2020 mendedahkan status sebagai janda iaitu selepas empat tahun bercerai dengan bekas suami, Reduan Mahamood, sejak 29 Jun 2016.
Mereka berkahwin pada 26 April 1999 dan Amelina pernah mengakui nekad ‘angkat kaki’ selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE