PERTARUHAN muzik terbaharu penghibur kelahiran Singapura, Alyph berjudul SWIPE ternyata membuahkan hasil apabila kini menjadi lagu paling popular di Malaysia.
Setakat ulasan ini ditulis, SWIPE yang turut menampilkan ‘selingan’ nyanyian taikun kosmetik, Datuk Seri Vida menduduki tangga pertama carta RIM termasuk merajai Malaysia 50 dalam plaform penstriman, Spotify.
Penulis antara pendengar yang mengikuti rapat perkembangan muzik Alyph atau nama sebenarnya, Alif Abdullah sedari dirinya bersama kumpulan Sleeq, aktif sebagai penerbit dan kini aktif bergerak solo meluncurkan lagu sendiri.
Lelaki berusia 33 tahun itu sememangnya mempunyai sentuhan emas tersendiri dan cakna benar tentang bunyi yang mudah melekat dalam kepala serta halwa telinga peminat muzik.
SWIPE tidak terkecuali terkandung kualiti sama terutama dari sudut komersial, dipadukan dengan komposisi muzik dan lirik memiliki elemen semasa.
Vida, melodi mudah larut
Dari segi melodi, SWIPE disifatkan sebagai antara lagu Melayu paling ‘funky’ dengan rentak paling mudah ‘sing-along’ untuk tahun 2022.
Alyph fasih dan mahir tentang apa yang dimahukan pendengar Nusantara terutama mereka yang tinggal di Malaysia dan Singapura.
Semua itu dicernakan menerusi SWIPE.
Alyph yang pernah berkolaborasi dengan kumpulan hip-hop, K-Clique menerusi lagu Mimpi bijak ‘mempergunakan’ Vida dalam lagu tanpa perlu membobrok seni muzik.
Vida hanya muncul untuk beberapa ‘ketika’ dalam lagu dan itu sahaja.
Tidak perlu memberi ‘screen time’ yang terlalu lama. sekali gus menjaga rapi seni muzik yang sememangnya patut dipelihara orang yang berhak.
Untuk itu, pujian harus diberikan kepada Alyph dan terima kasih kerana tidak ‘memperdajalkan’ muzik atau seni dengan berbuat demikian. Genius.
Lirik senang hadam, terkini
Selanjutnya, dari segi nukilan lirik, Alyph sekali lagi menang.
Dia menggunakan ‘jargon’ atau istilah yang sangat lazim dengan generasi zaman sekarang.
“Aku ada type, kalau aku like, aku like, kalau tak, aku swipe”.
Demikian antara lirik pembuka lagu SWIPE yang sekali dengar sahaja, terus melekat di setiap organ atau rongga mempunyai fungsi mendengar dan memberi apresiasi seni muzik.
Lirik SWIPE mudah dihadam dan itu membuatkan lagu berkenaan begitu berjaya di pentas komersial.
Bermula dengan anak muda, orang tua dan termasuk mereka yang datang daripada kerjaya politik pun menggunakan lagunya untuk tujuan promosi diri masing-masing dalam platform media sosial.
Kepada Alyph, terima kasih untuk SWIPE dan anda sememangnya seorang rockstar yang bukan berstatus ‘tin kosong’.
Seni anda sesungguhnya mempunyai jisim kualiti yang tersendiri dan untuk itu, syabas!