Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Rahsia sebuah klinik swasta yang beroperasi secara haram sejak tiga bulan lalu dengan menawarkan perkhidmatan rawatan kulit di Tanjung Tokong di sini terbongkar selepas diserbu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di sini Sabtu lalu.
Operasi tersebut dijalankan hasil risikan yang dijalankan anggota dan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.
Sumber berkata, klinik yang mempunyai beberapa cawangan di Seberang Perai itu popular dalam kalangan pelanggan yang dipercayai mahu mendapatkan rawatan penjagaan dan kesihatan kulit.
Menurutnya, klinik berkenaan juga dikatakan kerap mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.
“Hasil risikan, klinik berkenaan tidak berdaftar dengan KKM manakala ubat-ubatan yang disediakan juga turut diragui.
“Tindakan sita telah dilakukan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, turut dirampas adalah beberapa jenis ubat-ubatan yang dipercayai tidak berdaftar dengan pihak berwajib. – K! ONLINE