fbpx

Belum ada laporan polis diterima terhadap Rafizi – Hamzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29 Siri 1 Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.- Foto FAIZ ALIF

PUTRAJAYA – Tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli susulan kenyataan dikeluarkannya kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, tindakan Rafizi mengeluarkan kenyataan secara melulu itu tidak sepatutnya berlaku.

“Setakat semalam (Khamis), belum ada lagi laporan yang diterima, belum lagi dimaklumkan kepada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29 Siri 1 Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perbarisan tamat latihan melibatkan seramai 193 pegawai.

Media pada Rabu melaporkan, Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan menerusi Ceramah Mega di Johor Bahru berkata, PH akan mencari Azam sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ini. Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, mana-mana pemimpin parti tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menakutkan-nakutkan.

“Parti seperti Rafizi ini, kerja lain tiada hanya nak menakutkan pegawai-pegawai tertinggi dalam negara kita, mereka hanya melakukan kerja mereka, apa yang nak menakut-nakutkan mereka ini?

“Negara kita ada undang-undang, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dalam negara sama ada pegawai tertinggi, pegawai rendah, rakyat biasa atau pemimpin mana-mana parti kalau melanggar undang-undang kita akan ambil tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan kesiapsiagaan anggota keselamatan menjelang hari mengundi esok, Hamzah berkata, pihaknya berharap tiada sebarang insiden luar jangka yang akan berlaku.

“Kita berdoa supaya ia tidak berlaku kerana akan menyulitkan rakyat untuk keluar mengundi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI