fbpx

Trafik sesak, 13 jam dari KL baru sampai Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan menuju ke bandar Gua Musang masih sesak dengan kenderaan hari ini. -Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Pintu masuk ke Kelantan di sini masih sesak teruk dengan kenderaan pengguna jalan raya menjelang kurang 24 jam hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bahang PRU15 semakin dirasai apabila bilangan kenderaan perantau semakin bertambah setiap jam memasuki Kelantan melalui pintu masuk Gua Musang sejak petang semalam.

Kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai juga semakin bertambah dan kesesakan dijangka berlaku sehingga malam ini.

Tinjauan Kosmo! di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang di Rantau Manis dan Hentian Gua Musang di sini mendapati, kawasan itu dipenuhi dengan perantau yang berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Seorang perantau, Firdaus Mamat, 43, dari Kuala Lumpur berkata, semangatnya untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berkobar-kobar seperti ingin pulang berhari raya.

Katanya, dia bertolak pukul 9 malam tadi dan terpaksa berhenti rehat di lima R&R kerana berlaku kesesakan luar biasa menuju ke Pantai Timur.

Katanya, laluan trafik pagi tadi di semua jalan utama perlahan sejak petang semalam.

“Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 malam, namun berhenti di beberapa lokasi sebelum berehat sebentar di bandar ini pada pukul 10 pagi tadi

“Saya bersyukur apabila tiba dengan selamat di bandar ini dan tidak tahu berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di kampung di Kuala Krai,” katanya.

Seorang lagi perantau, Mohamad Nazuardi, 36, berkata, perjalanan ke kampung kali ini berbeza dan bersemangat untuk pulang mengundi.

Katanya, dia sekeluarga tidak kisah berdepan kesesakan lalu lintas demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Peluang untuk membuat pilihan ini tidak boleh disia-siakan bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang mentadbir negara kita.

“Saya berharap semua perantau dapat bersabar dalam pemanduan dan selamat sampai di destinasi masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI