LANGKAWI – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu bahawa beliau masih mampu memikul tugas sebagai wakil rakyat di Parlimen Langkawi.
Bekas Perdana Menteri itu turut berseloroh umurnya baru 79 tahun dan masih muda.
“Ada orang kata saya dah tua, umur dah 97 dan duduk di rumah jaga cuculah. Itu pun saya buat, tak kan setiap masa saya nak berpolitik, masa lapang kita jagalah cucu.
“Kalau kita tidur saja bila dah tua, kita nak bangkit tak laratlah kerana otot kita ini dah lemah.
“Kalau kita tak bercakap dengan orang, tak tahu bahas, otak kita pun dia macam kecut, tak boleh fikir,” katanya ketika berucap pada kenduri rakyat di Taman Nilam, di sini malam semalam.
Dalam ucapan sama, beliau yang merupakan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) memberitahu akan membina terminal feri baharu ke Langkawi bagi menggantikan terminal feri sedia ada di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
“Kalau kita menang dan dapat kuasa, kita akan buat pelabuhan baharu antara Perlis dengan Kedah dan bukan di muara sungai,” ujarnya.
Menurutnya, kedua-dua terminal tersebut dibina di muara sungai dan ia tidak bersesuaian kerana lumpur dari hulu sungai akan mendap di muara sungai yang tidak jauh dari laluan feri.
“Ia akan menyebabkan kerja-kerja pengerukan perlu dilakukan secara berkala. Kita perlu feri yang banyak untuk keluar masuk ke Langkawi, barulah mudah orang datang ke Langkawi.
“Tetapi malangnya, air cetek sangat dan cuma waktu air pasang sahaja feri boleh masuk, waktu lain tak boleh masuk. Bot yang kecil pun kadang-kadang tak boleh masuk juga,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE