PETALING JAYA – Hanya kerana cantik, memiliki rumah dan perniagaan sendiri, si suami ‘gatal’ mahu berkahwin dua, namun kedekut pula dengan isteri sendiri.
Duit belanja isteri tidak pernah diberi, bahkan apabila si isteri meminta, dimarahinya wanita itu supaya menggunakan wang sendiri.
Itu masalah rumah tangga diceritakan oleh Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali pada Facebook Bersama Suzana Ghazali berkenaan seorang isteri yang suaminya mahu beristeri dua.
“Suami saya kata perempuan itu muda lagi, tapi sudah ada rumah sendiri. Dia tanya saya ada apa? Kak dari awal kahwin, dia tak pernah nak bagi belanja.
“Dia bayar rumah saja. Lain-lain pandai-pandai saya. Kalau saya minta duit, dia tanya saya balik, duit awak mana? Kata kerja,” ujarnya pada hantaran itu memetik kata-kata wanita tersebut.
Dalam pada itu, si isteri berusaha mencari wang tambahan dengan mengambil upah menjahit pakaian kerana pendapatan yang diterima kecil.
“Itu saja jawapan dia setiap kali saya minta duit belanja. Saya sakit hati, saya usaha sendiri kak. Gaji saya kecil, saya ambil upah menjahit.
“Baju raya anak-anak pun saya jahit sendiri sebab minta duit dengan dia nak beli baju raya anak, dia kata baju raya dia pun dia tak beli.
“Sekarang dia sibuk nak kahwin dengan janda. Janda itu ada rumah, ada perniagaan, lawa tak macam saya apa pun tak ada, tak lawa dah, gemuk dah,” katanya.
Sementara itu, Suzana berkata, sudah banyak kes lelaki berkahwin dua hanya mahu menumpang kesenangan wanita tersebut.
“Dah banyak kes ‘jantan-jantan’ tak sedar diri ini gunakan poligami untuk tumpang senang bakal bini sambil-sambil rancang untuk ‘tabur’ mani,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE