PETALING JAYA – Aliran trafik menghala ke Pantai Timur di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) dilaporkan sesak lebih 30 kilometer (KM) ketika ini.
Ia susulan warga ibu kota pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menjalankan proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kesesakan tersebut bermula daripada Plaza Tol Gombak sehingga ke Plaza Tol Bentong.
“Trafik sesak dan perlahan 21.1 km bermula dari Plaza Tol Gombak sehingga KM 40.9 berhampiran Bukit Tinggi.
“Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di KM44.1 hingga KM 54.8 (Bukit Tinggi-Lentang) iaitu sepanjang 10.7 km. Turut dilaporkan sesak adalah KM 57.2 hingga KM 57.7 (Lentang-Bentong), ” kata LPT.
Pada masa sama kata LPT, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 turut mengalami sedikit kesesakan sepanjang hampir dua kilometer sebelum Plaza Tol Karak arah ke Kuantan berikutan pertambahan kenderaan.-KOSMO! ONLINE