PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Utara-Selatan malam ini berikutan pertambahan kenderaan.
Menurut laporan trafik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di laman Twitter rasminya, trafik perlahan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS)@E1 dan juga PLUS@E2.
“Bagi PLUS@E2 arah Utara, trafik masih perlahan di lokasi Pandan ke Pasir Gudang, Senai ke Kulai dan juga Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban ke Nilai Utara. Kemalangan tiga kereta di Kilometer (KM) 284 telah menyebabkan lorong kanan terhalang.
“Sementara di arah Selatan, kenderaan bergerak perlahan bermula di Putra Mahkota ke Nilai dan Sedenak ke Kulai,” kata LLM.
Menurutnya, PLUS@E1 arah Utara, Bukit Lanjan ke Hospital Sungai Buloh, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah, selepas Tapah ke Gopeng, sebelum keluar Plaza Tol Bukit Tambun dan Bukit Tambun ke Perai.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian kadar tol secara percuma bermula pukul 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November. -KOSMO! ONLINE.