JAKARTA – Projek kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung (KCJB) dijangka mampu memenuhi sasaran untuk siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan meskipun beberapa kali tertangguh dan mengalami masalah pembiayaan, lapor stesen penyiaran CNBC Indonesia semalam.
Menteri Penyelaras Bidang Kemaritiman dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kemajuan projek tersebut kini mencapai 80.4 peratus.
Justeru, beliau akan memastikan penyelarasan tetap diteruskan dengan wakil Badan Penyelesaian Masalah Nasional (NDRC), demi memastikan projek tersebut dapat disiapkan pada pertengahan tahun depan.
“Projek ini perlu disiapkan dan tidak boleh tertangguh lagi. Ini adalah tekad peribadi saya untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Luhut.
Sementara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) kelmarin menyaksikan ujian dinamik projek KCJB bersama rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping, di Nusa Dua, Pulau Bali.
Jokowi turut meluahkan keyakinan beliau bahawa projek mega itu dapat disiapkan mengikut jadual iaitu Jun 2023.
“Sebentar tadi, kami menyaksikan ujian dinamik projek KCJB dan saya optimis, kereta api berkelajuan tinggi ini dapat beroperasi pada Jun 2023,” kata beliau.
Projek KCJB mengalami penambahan pembiayaan lebih daripada 20 trilion rupiah (RM5.8 bilion) dan ketika ini, ia sedang mencari penyelesaian pembiayaan daripada pemerintah atau pelabur China.
Daripada pihak pemerintah, ia akan menggunakan skim penyertaan modal negara (PMN) bagi membiayai projek tersebut.
Menurut wakil Menteri Perusahaan Milik Negara, Kartika Wirjoatmodjo, pembiayaan projek tersebut meningkat kepada 21.8 trilion (RM6.3 bilion).
Justeru, pihaknya memerlukan bantuan daripada Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan pembiayaan PMN berjumlah 3.2 trilion rupiah (RM928 juta). – Agensi