PETALING JAYA – Sejak semalam warga kota mula mengatur langkah pulang ke destinasi pengundian mereka bagi menunaikan tanggungjawab memilih calon yang bakal mengisi tampuk kepimpinan untuk tempoh lima tahun.
Biarpun hari mengundi esok, kesempatan cuti umum yang diberikan kerajaan membuatkan warga kota pulang awal sehingga lebuh raya sesak dan trafik bergerak perlahan.
Tinjauan Kosmo! di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Utara-Selatan menunjukkan penambahan ketara kenderaan sejak petang semalam sekali gus menandakan orang ramai mahu pulang mengundi.
Keadaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan dan Terminal Bas Hentian Duta juga tidak banyak berubah sejak kelmarin apabila orang ramai membanjiri lokasi berkenaan untuk memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari ini dan esok sebagai hari kelepasan am kepada rakyat bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak melepaskan tanggungjawab kepada negara.
Serentak pengumuman itu, Perdana Menteri memaklumkan tol percuma selama dua hari bermula tengah malam ini sempena PRU15.
Tol percuma tersebut akan bermula dari 12.01 tengah malam 18 November hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian.
Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad menjangkakan berlaku peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya berkenaan.
Sementara itu, di Gua Musang, tinjauan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai menyaksikan kenderaan perantau dilihat mula bersesak memasuki Kelantan sejak pagi semalam dan keadaan itu dijangka semakin bertambah sehingga malam ini.
Seorang penjawat awam, Adila Ahmad Awang, 40, berkata, dia yang menetap di Seri Kembangan, Selangor mengambil cuti sehari awal untuk pulang mengundi di kampungnya di Rantau Panjang.
“Saya bertolak awal pagi tadi (semalam) selepas subuh untuk mengelak kesesakan lalu lintas, tetapi saya tetap berdepan dengan kesesakan semasa memasuki bandar Raub dan Gua Musang.
“Ada beberapa lokasi di Kampung Gali, Raub juga berlaku kesesakan apabila berlaku banjir kilat, namun jalan itu masih boleh dilalui oleh kenderaan,” ujarnya.
Adila memberitahu, dia menggunakan jalan alternatif melalui Gua Musang-Jeli seterusnya ke Dabong, Kuala Krai-Rantau Panjang bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, Hafizee A. Hamid, 45, dari Kota Damansara, Selangor berkata, dia sempat berhenti rehat di Hentian Gua Musang sebelum menuju ke kampung isteri di Labok, Machang dan kampung halamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu
“Tadi ada dua tempat yang berlaku kesesakan di Pahang iaitu di bandar Raub dan Ulu Dong. Di kawasan Sungai Pasu juga trafik perlahan apabila berlaku limpahan air banjir di atas jalan raya.
“Saya tersangkut dekat Raub selama sejam dan perjalanan ke Gua Musang mengambil masa selama lima jam,” katanya.