JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Pelangi di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya melakukan siasatan terperinci sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Kita masih lengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Pemandu wanita terbabit diberi jaminan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muka depan Kosmo! hari ini melaporkan polis menyangkal dakwaan pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan seorang anggota tentera maut yang mendakwa mengelak sebuah kenderaan berhenti di hadapannya.
Rakaman video yang tular di media sosial jelas menunjukkan kereta yang dipandu wanita berusia 23 tahun itu merempuh sebuah kereta Honda Accord dinaiki mangsa sehingga kedua-dua kenderaan tersebut terbalik.
Kejadian pada pukul 8.30 pagi di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berdekatan Plaza Pelangi di sini menyebabkan Laskar Kanan Mohd. Rizal Buseri, 31, terbunuh di tempat kejadian.-K! ONLINE.