NEW DELHI – Seorang lelaki berjalan kaki ke sebuah balai polis di negeri Uttar Pradesh, India sambil membawa kepala isterinya yang dipancung baru-baru ini, lapor laman berita Mirror UK.
Satu rakaman video yang tular menunjukkan lelaki itu berjalan sambil membawa kepala seorang wanita yang masih berlumuran darah di Neta Nagar, daerah Banda.
Polis berkata, suspek dikenali sebagai Chinnar Yadav.
Menurut polis, suspek menyerang isterinya, Vimla dengan menggunakan senjata tajam selepas bertengkar. Dia menuduh wanita itu menjalin hubungan sulit dengan jiran mereka.
Selepas menyerang dan memancung kepala isterinya pada Jumaat lalu, Yadav dirakam membawa kepala mangsa ke balai polis bersama senjata yang dia gunakan.
Klip video itu berakhir dengan Yadav melangkah masuk ke Balai Polis Baberu untuk menyerah diri.
Polis segera menahannya dan merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Menurut laporan, Yadav turut menyerang jiran yang dituduh telah meniduri isterinya.
“Selepas bertengkar, suspek menyerang isterinya dengan senjata tajam lalu membunuh dan memenggal kepala mangsa.
“Dia kemudian membawa kepala isterinya ke Balai Polis Baberu. Suspek ditahan dan senjata itu dirampas daripadanya,” kata Asisten Superintendan Mahendra Pratap Chauhan.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat. –Agensi