GEORGE TOWN – Laluan keluar dari pusat bandar ini dilihat mula sesak dengan kenderaan-kenderaan termasuk di jalan utama menunju ke Jambatan Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Tinjauan Kosmo! sejak pukul 3.45 petang tadi mendapati banyak kenderaan menghala ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dan Greenlane dari arah Jalan Penang serta berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Pengguna turut berdepan kelewatan sehingga hampir setengah jam apabila kenderaan mula bergerak perlahanan dari Jalan Batu Uban menuju ke pusat bandar dan tanah besar iaitu Seberang Perai.
Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga pukul 9 malam nanti apabila ramai dalam kalangan pengundi luar yang tinggal di negeri ini dikatakan mula merancang perjalanan pulang ke kampung halaman selepas waktu bekerja antara pukul 5, 6 dan 7 petang ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Terdahulu, pada 10 November lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut mengambil langkah mengisytiharkan cuti khas negeri pada 18 November (Jumaat) ini, sehari sebelum hari pengundian berlangsung pada Sabtu. – KOSMO! ONLINE