Esok, lebih 21 juta pemilih berdaftar dijangka keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Esok juga, sudah berakhir satu tanggungjawab rakyat kepada negara dalam memilih pemimpin terutama yang bakal mentadbir kerajaan baharu.
Tetapi tanggungjawab pemimpin yang telah dipilih pengundi tidak akan berakhir bagi tempoh satu penggal.
Segala janji dan tawaran yang dicanang-canangkan dalam manifesto kepada rakyat ‘wajib’ ditunaikan.
Biarpun rakyat tahu manifesto itu bukan ‘kitab suci’, tetapi mereka amat mengharapkan janji itu yang boleh memberi kebaikan kepada mereka dan negara.
Kali ini, tiga blok parti politik besar iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding selain Gerakan Tanah Air.
Sudah pasti, kali ini banyak janji menarik yang ditawarkan setiap gabungan parti politik. Ia tidak termasuk lagi janji-janji dibuat oleh calon sendiri di kawasan masing-masing.
BN menggariskan lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan dengan 99 tawaran kepada rakyat terutama B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.
Paling menarik adalah tawaran untuk mengkreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.
Melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas itu, tiada lagi isi rumah yang akan hidup di bawah garis kemiskinan.
BN juga mahu melaksanakan pendigitalan secara besar-besaran melalui sistem persekolahan tanpa buku teks dan komputer riba percuma kepada golongan B40.
PN pula menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya.
Antara yang menarik adalah melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan dan menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada RM300 kepada RM1,000.
Selain itu, mewujudkan 1,000,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa hadapan dalam tempoh lima tahun serta akses kepada peranti digital untuk murid di seluruh negara.
PN juga mahu mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara bersasar, biarpun ia tidak tertakluk manifesto gabungan itu.
PH pula mahu terus berjuang menurunkan kadar tol lebuh raya, menawarkan biasiswa B40 dan program sarapan percuma untuk semua pelajar sekolah, antara janji terkandung dalam 10 keutamaan tawaran manifestonya.
Justeru, pengundi perlu bijak membuat pilihan esok. Jadikan pengalaman PRU14 sebagai pengajaran. Pilihan tepat dapat menjamin kehidupan yang lebih baik untuk generasi hari ini dan hadapan dan juga masa depan negara.
Bagi calon-calon dan parti yang memenangi PRU15 esok, ingat peribahasa ini, ‘kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya.’