fbpx

Ubah gaya pemakanan cegah buasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masalah buasir sering dikaitkan dengan tindakan meneran semasa membuang air besar dan sembelit. – Gambar hiasan

BUASIR merupakan antara masalah yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Ia nampak biasa, namun tanpa sedar buasir merupakan antara penyakit serius dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi lain.

Menurut Pakar Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Nurhashim Haron, buasir merupakan satu keadaan apabila pesakit merasai sesuatu yang tidak normal di bahagian dubur mereka.

Jelasnya, pesakit akan merasai lebihan kulit atau sesuatu yang tersembul keluar dari dubur.

“Dari segi definisi perubatan, buasir merangkumi beberapa diagnosa. Antara yang paling kerap dialami adalah haemorrhoids ataupun anal fissure.

“Di dalam saluran dubur kita terdapat struktur yang dikenali sebagai hemoroid (vaskular endocushions) yang membantu otot-otot dubur kenyal.

“Biasanya, struktur ini kecil dan tidak ketara. Bagaimanapun, apabila seseorang itu mengalami sembelit atau meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Terangnya, selepas beberapa lama, bahagian tersebut akan hilang sifat kenyalnya dan terjulur keluar daripada dubur yang diiringi dengan pendarahan dan akhirnya menjadi buasir.

Kebiasaannya, buasir terjadi kerana sembelit serta proses meneran dan ia sering berlaku dalam kalangan individu.

“Masalah ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, tetapi selalunya kepada yang berumur 30 tahun ke atas dan wanita mengandung.

“Buasir sering dikaitkan kerana meneran semasa membuang air besar dan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir disebabkan pembesaran janin sehingga menyebabkan tekanan pada bahagian dubur dan akibat perubahan hormon.

“Individu yang berlebihan berat badan, berdiri dalam jangka waktu lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat juga berisiko menghidap masalah ini.

“Kesemua faktor ini akan menyebabkan penambahan tekanan pada saluran vena di rektum serta dubur sehingga menyebabkan pembengkakan dan pembesaran,” ujarnya.

Terbahagi kepada dua, buasir boleh dikategorikan sebagai dalaman dan luaran.

DR. NURHASHIM

Dikenali sebagai hemorodi, buasir peringkat dalaman berlaku disebabkan oleh bengkak di lapisan dalam rektum.

Pada peringkat ini, pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa berasa sakit.

Pun begitu, ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran terkeluar dari dubur selepas membuang air besar dan unjuran tersebut mungkin hilang sendiri atau perlu ditolak kembali masuk ke dalam.

Bagi hemorrhoid atau buasir luaran pula, ia berlaku di bahagian bawah kulit luar dubur.

Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar dan kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza.

Sesetengah pesakit mungkin berasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang panas atau pedih.

Sakit yang kuat mungkin berlaku akibat saluran darah tersumbat oleh darah beku.

“Untuk merawat buasir atau hemoroid, pertama sekali pesakit perlu berjumpa dengan doktor dan mendapat penerangan mengenai gejala yang dialami mereka.

“Selepas mengenal pasti semua simptom dan gejala, doktor akan membuat pemeriksaan di bahagian dubur untuk melihat kewujudan bengkak atau ketulan ketara.

“Bagi pemeriksaan dalaman, doktor akan membuat pemeriksaan digital (menggunakan jari) serta menggunakan proktoskop untuk memeriksa bahagian dalam dubur sebelum pemeriksaan menyeluruh. Biasanya, ujian kolonoskopi akan dilakukan,” terangnya.

Kebiasaannya, rawatan yang diberikan bergantung kepada jenis dan tahap buasir dialami oleh pesakit.

Pun begitu, sekiranya tidak dirawat, pesakit berpotensi mengalami komplikasi dan kesakitan berterusan, selain ketidakselesaan terutamanya jika ia merupakan buasir luaran.

“Ada juga pesakit yang akan mengalami perubahan dari segi pendarahan yang berterusan mebuatkan mereka mengalami simptom anaemia lain termasuk sakit dada, pening dan sesak nafas.

“Pesakit yang mengalami gejala anaemia mungkin memerlukan penambahan darah.

“Ada juga buasir yang mungkin tersumbat dan menjadi gangren (busuk). Ini adalah situasi yang kritikal dan memerlukan rawatan kecemasan,” jelasnya.

Biarpun telah dirawat, namun penyakit buasir boleh berulang terutamanya bagi mereka yang masih mengalami masalah meneran dan sembelit.

Justeru, penting bagi pesakit untuk mengubah gaya hidup dan menjaga pemakanan bagi mengurang atau mengelakkan sembelit.

Antaranya, melebihkan pengambilan serat dalam makanan, memperbanyakkan minum air iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, melakukan senaman dan elakkan pengambilan julap yang boleh memburukkan lagi buasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI