KEMERIAHAN kempen Piala Dunia Qatar 2022 semakin dirasai dengan beberapa tonggak Harimau Malaya meluahkan keyakinan bahawa skuad Harimau Malaya boleh layak pada kejohanan bola sepak paling berprestij itu pada masa depan.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee dengan meletakkan keyakinan potensi skuad kendalian Kim Pan-gon untuk ke pentas Piala Dunia edisi 2026 nanti.
“Bagi saya rezeki dan masa depan kita tidak boleh nak jangka, mungkin empat tahun nanti Malaysia dapat layak ke Piala Dunia, kita tidak tahu perkara itu boleh berlaku.
“Saya harap siapa sahaja pemain yang dipanggil mewakili negara dapat membantu mencipta sesuatu untuk negara,” katanya ketika ditemui majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya di Petaling Jaya semalam.
Sebagai rekod, skuad negara berada dalam kelas tersendiri sejak dibimbing oleh Pan-gon awal tahun ini dengan berjaya melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023, sekali gus yang pertama sejak edisi 2007.
Seorang lagi pemain pertahanan kebangsaan, V. Ruventhiran turut senada dengan apa yang dikatakan oleh Khuzaimee kerana percaya sentuhan pengendali import dari Korea Selatan itu boleh memacu skuad negara ke tahap lebih baik.
“Saya rasa impian tersebut tidak jauh, malah semakin hampir kerana kita percaya dengan jurulatih dan kualiti yang ada pada barisan pemain.
“Apa yang penting adalah memberi penyokong Malaysia perasaan bangga dengan Harimau Malaya,” kata pemain kelab Petaling Jaya City (PJ City) berusia 21 tahun itu.
Pada majlis semalam, persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melancarkan jersi baharu bagi home dan away bagi tahun 2022 hingga 2024 keluaran Nike bertemakan ‘Demi Lencana di Dada’.