SHAH ALAM – Kehadiran pemimpin besar dari parti-parti lain ke Parlimen ini membuktikan kempen dilaksanakan calon Barisan Nasional (BN) Hizatul Isham Jalil berjaya memberikan impak besar kepada pengundi.
Kata Isham Jalil, ini juga menunjukkan tahap kerisauan parti lain terhadap kemampuan dirinya dalam membawa perubahan atau peralihan masyarakat untuk mengundi BN sedangkan lokaliti itu adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
“Kalau lihat, pemimpin heavyweight PH dan pemimpin Parti Pejuang, Tun Dr.Mahathir Mohamad turun padang ke Shah Alam mungkin disebabkan mereka risau dengan kempen saya.
“Hari ini pun, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) akan turun ke Shah Alam. Malam ini pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang pun akan turun di Seksyen 9 Shah Alam,” katanya ketika sidang akhbar bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Shah Alam Community Forest (SACF) di Seksyen 14 hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kehadiran pemimpin PH dan parti lain ke Parlimen tersebut berbanding BN yang melakukan perkara serupa.
Mengulas lanjut, Isham Jalil berkata, sepanjang kempen dijalankan beliau telah menemui golongan B40 dan M40 untuk berkempen seperti calon-calon lain.
Tambah beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dalam kalangan rakyat berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.
“Itu mungkin faktor mendorong kehadiran pemimpin parti lawan berkempen secara maksima di sini.
“Kita akan terus berusaha dalam baki kempen ini. PH mengatakan mereka mendapat 80 peratus sokongan daripada rakyat di sini. Entah dari mana mereka mendapat jumlah ini saya pun tidak pasti,”katanya. – KOSMO!ONLINE